Monday, July 27, 2009

Singgahan Rahmat Perpaduan Nasional

Buat pertama kalinya PASTI Darul Ulum menerima pelawat dan tetamu dari Pulau Pinang. Rombongan Dr Mujahid Yusuf Rawa berserta 12 orang rombongan telah singgah dan memantau perkembangan PASTI di Kinabatangan. Persinggahan mereka dalam rangka lawatan ke Sabah bagi melihat potensi penubuhan Kelab Penyokong.

Rombongan Lajnah Perpaduan Nasional adalah Lajnah yang pertama turun di Sabah begitu berbangga dengan perkembangan PASTI di Sabah. Beliau mengharapkan PASTI menjadi wadah terbaik dalam mengembangkan Islam dan perjuangannya di bumi Sabah. Selain itu beliau tetap berharap agar PASTI dapat mengusahakan menerima pelajar-pelajar bukan Islam di PASTI-PASTI. Usaha ini penting bagi memperlihatkan Islam adalah agama yang syumul dan kejayaan PASTI-PASTI di semenanjung yang menerima pelajar Islam adalah bukti kurikulum PASTI adalah kurikulum yang baik

Lawatan ini turut disusuli dengan majlis perkenalan dengan anggota Lajnah Perpaduan Nasional. Suasana yang ringkas tetapi penuh persaudaraan ini diharapkan bakal menjadi momentum kepada perkembangan dakwah dan pendidikan Islam di bumi Sabah.

Rombongan Ust Dr Mujahid turut menyampaikan sumbangan kepada PASTI Darul Ulum dan pihak PASTI Darul Ulum mengucapkan berbanyak terima kasih di atas ke prihatinan mereka kerana pihak PASTI amat memerlukan sumbangan itu bagi menyiapkan PASTI yang tergendala kerana masalah kewangan sejak JUN lagi.

Pihak PASTI Darul Ulum juga berbangga dengan kesediaan pihak YB Dr Mujahid untuk memantau perkembangan PASTI dan memberi nasihat-nasihat yang berguna. Sememangnya kami sentiasa bersedia menerima tetamu Allah.


Friday, July 10, 2009

Akhirnya Natrah Kembali

Natrah, gadis rebutan berdarah 1950 meninggal dunia

Natrah digendong oleh ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed. Gambar ini diambil sekitar tahun 50-an.


KUALA LUMPUR 9 Julai – Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda, semalam.

Beliau meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib menerusi e-mel kepada Bernama hari ini.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

“Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” kata Dr. Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. – BERNAMA

Harapan kita, pengorbanan 18 orang pejuang Islam diberi syahid dan Natrah konsisten imanya dan kembali kepada Allah dalam keadaan Islam. Wallahu A'lam